Thursday 20 January 2011

Sejadah...

Aku terjaga dari lenaku lalu mengucap panjang. Rupanya aku mengalami mimpi ngeri. Kulihat jam telah menunjukkan pukul 1.00 pagi. Mimpi ini sungguh menakutkan. Alam sekelilingku gelap gulita tiada sesiapa disisiku. Aku menjerit memanggil nama ibu, ayah, kakak dan adik tapi malang tiada sahutan. Hanya aku sorang terkapai-kapai di dalam kegelapan. Aku meraba-raba mencari cahaya untuk keluar dari kegelapan itu dan mencari jalan pulang, namun tidak berjaya. Rasa takut menyelubungi hatiku. Hanya yang mampu aku lakukan ialah menangis sendirian. Kemudian aku berusaha melangkah terus tetapi tiba-tiba kakiku tergelincir lalu terjatuh ke dalam sebuah curam yang amat dalam. Aku mejerit lalu terjaga daripada tidurku.

Apakah alamat mimpi ku ini?.
Aku termangu seketika lantas terus bertahmid dan berzikir. Kemudian aku bangun dan terus mengambil wuduk menunaikan solat tahajjud,memohon keampunan kepada Ilahi. Manalah tahu mungkin tanpa sedar ada kesilapan yang telah aku lakukan.

Aku teringat zaman kanak-kanak .Aku dibesarkan di negara yang serba moden. Rakyatnya cuma mementingkan kebendaan kerana bagi mereka duit adalah segala-galanya. Kerana itu semasa di sekolah rendah lagi di hantar ke sekolah Inggeris dengan harapan masa depanku cerah dengan adanya pendidikan Inggeris. Ketika itu anak-anak melayu boleh dikira dengan jari saja. Dan pada setiap pagi pelajar berkumpul serta menyanyi sebelum masuk kelas.

Di rumah ayah mengajar aku mengaji kerana di sini sukar mendapat guru mengaji. Kerana itu aku sekadar mengaji tanpa mengetahui isi kandungannya.

Satu hari datuk ku datang menziarahi kami. Walaupun aku perempuan tetapi perangaiku amat lasak hingga dikira tomboy dan kerana kenakalanku di sekolah, ayah sering dipanggil oleh guruku. Ini menjadikan Datuk berasa risau melihat keadaanku. Dia menasihatkan ayahsupaya tukarkan aku ke sekolah Agama. Ketika itu hanya ada satu sahaja sekolah Agama.

Kerana terpengaruh dengan nasihat datuk, maka ayah menukarkan aku ke sekolah agama. Sebagai tanda protes aku mogok dengan atukku. Di sekolah baru ini terlalu asing buatku kerana semuanya kurasa serba baru. Namun aku cuma memberontak dalam hati sahaja tidak berani hendak meluahkannya.

Aku lebih suka berdiam diri,membatu seribu bahasa dengan tidak mahu bercakap. Ketika itu ada seorang guru yang selalu mendekati aku, memberi nasihat, membimbing memujuk dan memberi tunjuk ajar. Sedikit demi sedikit aku terpujuk oleh rayuan guru tersebut. Akhirnya aku akur kenapa aku ditukarkan ke sini.

Di rumah juga aku menjadi seorang pendiam dan sukar untuk aku berkomunikasi. Malah dengan atuk pun aku malas nak bertegur sapa ketika dia datang menziarahi kami. Aku anggap mereka semua tak sayangi aku lagi.

Tapi atas usaha guru bahasa itu yang lemah lembut memujuk aku, akhirnya aku dapat menerima kenyataan.
Terfikir oleh aku tanpa mereka aku tak akan jadi seperti ini.

Kini aku dikenali sebagai guru Agama yang berdedikasi berjuang menegakkan syiar Islam. Ketika aku di pengajian tinggi atukku meninggalkan kami buat selama-lamanya. Aku tak dapat menatap wajahnya kali terakhir kerana ketika itu aku jauh diperantauan. Hanya doa dan ayat-ayat suci mengiringi pemergiannya daripada cucunya yang nakal. Aku sedar datukku membentuk aku menjadi anak yg solehah. Kalau tidak kerana atuk, entah apa akan tejadi. Aku insaf kini.

Aku mengerjakan solat tahajjud memohon keampuanan di malam nan syahdu ,titisan airmata tanda kekerdilan aku di sisiMu ya Allah. Aku takut dengan seksaMu Ya Allah. Aku tahu di hadapanMu kelak, mulutku terkunci ketika itu hanya tangan kaki menjadi saksi di atas semua perbuatan yang aku lakukan.

Aku sedar diriku lemah dan sering lalai oleh pujukan nafsu dan syaitan. Namun aku yakin Allah Maha Pengasih, Maha Pengampun kepada hambaNya. Kerana itu aku sentiasa mengharapkan rahmat dariNya. Tanpa mendapat rahmatNya pasti aku tidak akan selamat.

Beberapa bulan yang lepas aku menyambut hari jadiku yang ke-21 tahun. Dan ibu menghadiahkan aku sehelai sejadah yang amat cantik.

" Walaupun sejadah ini harganya murah sahaja namun nilainya amat mahal kerana berkekalan hingga hari akhirat," kata ibuku sambil menghulurkan sebuah bungkusan sempena majlis hari jadiku yang ke-21.

Aku menyambut bungkusan itu lalu membuka pembalutnya. Pada mulanya aku berasa agak kecewa kerana selama ini ibu menghadiahkan aku barang-barang yang mahal. Ketika menyambut hari jadi ke-20 tahun lepas, ibu menghadiahkan aku sebuah kereta. Tetapi kenapa pada hari jadi aku yang ke-21 ini, ibu cuma menghadihakan sehelai sejadah?.

" Walaupun harganya murah tetapi nilainya amat mahal dan berkekalan sehingga hari akhirat," kata ibu bila melihat wajahku muram setelah melihat pemberiannya.

" Ini hadiah dari ayah pula," kata ayahku sambil menghulurkan sebuah bungkusan yang cantik.

Aku menyangka tentulah ayah akan memberikan hadiah yang paling mahal yang belum pernah diberikannya selama ini. Namun setelah bungkusan itu dibuka, sekali lagi aku berasa kecewa kerana ia cuma senaskhah tafsir kitab al-Quran.

" Hadiah ini juga harganya murah tetapi nilainya sebuah syurga," kata ayah.

" Apa makna semua ini?" tanyaku dengan rasa yang amat hairan bercampur tidak puas hati.

" Mak teringat pesan datuk kamu," jawab ibuku." Sebelum dia meninggal dunia, dia berpesan supaya beri kamu sehelai sejadah ketika menyambut hari lahir ke-21."

" Kenapa Atok buat begitu?" tanyaku lagi.

" Sebagai tanda ingatan dan kasih sayang," jawab ayahku.

" Apa maksud ayah?" tanyaku lagi.

" Setiap kali kamu gunakan sejadah ini, atok kamu akan mendapat pahala. Paling baiknya setiap kali lepas solat kamu baca surah al Fatihah dan sedekahkan pahalanya kepada arwah atok kamu," jawab ayah.

Kini fahamlah aku pengertian sejadah hadiah ibu sempena hari jadiku yang ke-21. Dan sejak itu aku sentiasa gunakan sejadah itu setiap kali mengerjakan
solat. Malah setiap kali aku melihat sejadah, aku mesti teringat arwah atok, ibu dan ayahku.

Sejadah oh sejadah…...

No comments:

Post a Comment