Sunday 23 January 2011

BILA JIWA KACAU

Assalamualaikum Warohmatullahiwabarokatuh....
 
HIDUP INI PENUH SUKA DAN DUKA, PENUH DENGAN WATAK YANG MEWARNAI LALUAN PERJALANANNYA. KITA PASTI SELALU MENGHARAP AGAR PERJALANAN YANG KITA LALUI SENTIASA CERIA TANPA DUKA TANPA MENYEDARI JIKA ITU YANG BERLAKU, KITA SEBENARNYA BAKAL MENJADI MANUSIA YANG TIDAK PUNYA PENGALAMAN DAN PENUH DENGAN KEBOSANAN...

     Kita sering berharap supaya kita bahagia, namun kita lupa kekecewaan dan kebahagiaan itu bukan terletak di luar diri. Namun, ia datang bersumberkan dari dalam diri kita sendiri. Kitalah yang sebenarnya memilih keadaan diri sama ada duduk dalam erti kebahagiaan sebenar ataupun sebaliknya. Hal ini jarang sekali kita peduli kerana bagi kita kebahagiaan itu sebenarnya datang daripada keadaan luaran dan keadaan luaran itulah penentu utama kepada kebahagiaan. Jika kita seorang yang bahagia secara dalaman maka kita tidak akan peduli bagaimanakah keadaan luaran kita, biarpun buruk ataupun tidak. 
          
        Kita melihat segala sesuatu dengan persepsi positif. Kita tidak merasakan sesuatu masalah itu sebagai bebanan tetapi melihatnya sebagai satu maklum balas yang kita terima yang memerlukan pembetulan atau mencorakkan semula. Mereka yang bahagia secara dalaman sentiasa mempunyai tidur yang lena, sentiasa segar dan mempunyai semangat yang tinggi untuk hidup. Mereka pasti akan hidup dengan penuh kasih sayang. Kasih sayang ini bukan sahaja untuk sesama manusia, tetapi juga untuk makhluk keseluruhannya. Itulah faktor yang ada pada generasi datuk dan nenek kita. Biarpun kelihatan kurang berharta, tetapi mereka cukup bahagia. Keadaan ini jelas kelihatan daripada tutur kata dalam perbualan dan perlakuan mereka sesama makhluk. Justeru mereka gemar untuk memelihara binatang dan mereka hidup penuh dengan kesopanan, kelembutan dan kasih sayang. 

          Hari ini ramai antara kita yang tidak bahagia secara dalaman. Mereka hidup dengan penuh kebencian dan paling memualkan adalah persepsi negatif yang mereka ada dalam melihat kehidupan. Mereka sentiasa mempunyai sangka buruk dan memikirkan kejadian yang buruk lebih daripada melihat kebaikan sesuatu peristiwa. Mereka ini cukup meletihkan kerana mereka sentiasa mahu bahagia tetapi tidak pernah faham apa itu kebahagiaan. Mereka berpendapat kebahagiaan itu perlu datang dari luar. Orang bijak pernah berkata, "jika kamu tidak menjumpai kebahagiaan dalam diri kamu, janganlah kamu mencarinya di luar kerana pasti tidak akan bertemu."

Hilang kebahagiaan
       Bagi orang sebegini, kita boleh mengkategorikannya sebagai individu yang berada dalam jiwa yang kacau. Jiwa kacau ini menyebabkan mereka suka membuat tanggapan tanpa diminta dan lebih buruk lagi, tanggapan itu hampir semuanya negatif. Mereka akan lebih melihat keburukan dan hampir tiada kebaikan. Merekalah penyebab hilangnya kebahagiaan. Kebahagiaan datang dari dalam diri sendiri dan jika diri mereka penuh dengan kebencian dan negativisme, maka secara hukum alam mana mungkin mereka akan bahagia.

         Mereka sering berkata jika sesuatu keadaan berlaku barulah mereka akan bahagia atau jika mereka pergi ke satu-satu tempat, barulah mereka akan bahagia. Sebenarnya ke mana sahaja mereka pergi, biar apa keadaan sekalipun mereka tidak akan bahagia dan mereka akan melihat keadaan yang mereka katakan itu kelak sebagai keadaan negatif. Ada satu perkara yang mungkin perlu untuk kita lihat dengan penuh perhatian, iaitu sangka buruk mereka itu dapat membuatkan suasana harmoni menjadi negatif. Mereka lupa bahawa sangka buruk mereka itu adalah satu doa yang mungkin boleh terjadi satu hari nanti.

        Bukankah lebih baik jika mereka melihat sesuatu itu secara positif kerana sangka baik itu juga merupakan satu doa. Jika buruk sangkaannya, maka dia akan selalu memikirkan yang buruk dan akhirnya mereka melepaskan emosi mereka kepada mereka yang positif. Mereka mungkin tidak tahu atau tidak perasan yang perbuatan mereka itu menyebabkan kebahagiaan yang dibina bakal luntur akibat energi negatif yang disalurkan. Mereka menyebabkan tekanan luar biasa bukan sahaja kepada diri mereka malahan kepada orang yang berada di sekeliling mereka. 
Sangka buruk
       Akhirnya mereka akan kehilangan teman dan taulan dan itu akan membuatkan mereka LEBIH NEGATIF. Mereka mula mendendami keadaan itu, namun tidak pula mengakuinya melainkan meletakkan kesalahan itu kepada orang lain. Jiwa kacau ialah satu penyakit yang perlu diubati dan untuk mengubatinya secara efektif, mereka yang mengalaminya perlu secara sukarela untuk berubah. Langkah pertama, mereka perlu membersihkan diri daripada segala sangka buruk. 

          Mereka perlu tahu sangka buruk itu dilarang baginda S.A.W. Keduanya, mereka perlu membuang segala peristiwa negatif yang tersemat dalam memori mereka. Seterusnya mereka perlu bergaul dengan mereka yang positif untuk jangka masa sekurang-kurangnya enam bulan. Mereka boleh menyertai persatuan atau melakukan kebajikan secara berterusan. Ingatlah jiwa yang kacau bukan sahaja membunuh jiwa mereka, tetapi bakal menyebabkan mereka kehilangan orang yang mereka cintai dan sayangi. Hiduplah dalam persepsi positif dan berkasih sayang dengan Allah S.W.T. Ini akan menyebabkan kita lebih positif dan tenang kerana Allah tahu segalanya dan serahkan kehidupan kita kepada Allah S.W.T dan bukan kepada serakah jiwa. Wallahualam...     

No comments:

Post a Comment